AM

iGreenWarriors, Gerakan Iklim Dipimpin Belia Terus Beri Impak Di Seluruh Negara

12/12/2025 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Dalam masa kurang dua tahun, iGreenWarriors, gerakan alam sekitar utama JCI Entrepreneur Metropolitan (JCI E-Metro), muncul sebagai satu daripada inisiatif kelestarian dipacu belia yang paling pesat berkembang di Malaysia, memperluas kesannya daripada komuniti tempatan sehingga menjalin kerjasama di seluruh negara.

Dalam kenyataan hari ini, JCI E-Metro memaklumkan iGreenWarriors telah menggerakkan ribuan sukarelawan di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Melaka dan Johor serta dengan rakan serantau di Thailand, menjadikan tindakan iklim lebih mudah diakses oleh komuniti pelbagai peringkat umur sejak gerakan itu ditubuhkan pada 2024.

Melalui program penanaman pokok berskala besar, pembersihan kawasan pemuliharaan marin, bengkel ekonomi kitaran, pendidikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta aktiviti pemulihan biodiversiti, gerakan itu telah menanam lebih 300,000 batang pokok dan mengeluarkan bertan-tan sisa dari kawasan pantai.

Selain itu, iGreenWarriors memperkasakan sekolah, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pihak berkuasa tempatan dan kumpulan belia untuk mengambil bahagian secara aktif dalam tindakan alam sekitar yang bermakna.

"Pemacu utama di sebalik perkembangan gerakan ini ialah Program Usahawan Hijau, sebuah platform yang direka untuk melengkapkan belia Malaysia dengan pengetahuan, kemahiran dan peluang untuk membina perusahaan lestari berfokuskan iklim," menurut kenyataan itu.

Dengan memupuk inovasi belia, JCI-E Metro memaklumkan program itu memperkasakan bakal usahawan hijau untuk mereka penyelesaian praktikal, memimpin projek komuniti dan menyumbang secara langsung kepada peralihan Malaysia ke arah ekonomi hijau.

Menerusi kerjasama, iGreenWarriors berkolaborasi rapat dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, universiti dan pasukan kelestarian korporat untuk mewujudkan impak jangka panjang.

"Inisiatif utama termasuklah memulihkan hutan simpan yang terjejas, menerajui pendidikan sifar sisa di sekolah, menyokong ladang komuniti, memperkasakan pejuang iklim belia, dan memajukan program kesedaran pengurangan karbon di seluruh negara," menurut kenyataan itu.

Usaha berimpak tinggi iGreenWarriors itu membawa kepada pencapaian penting tahun ini termasuk disenaraikan antara tiga terbaik di dunia pada Kongres Dunia JCI 2025, menjadikan gerakan itu satu-satunya projek dari rantau Asia Pasifik yang meraih pengiktirafan berkenaan.

Gerakan itu juga memenangi Anugerah Kelestarian Alam Sekitar ESG Plus 2025 (Tindakan Iklim dan Pengurangan Karbon), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam tindakan iklim peringkat akar umbi di negara ini, menurut JCI-E Metro.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan