AM

Malaysia Sasar Jualan RM80 Juta Di Foodex Japan 2026 - KUSKOP

10/03/2026 06:26 PM

PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Malaysia menyasarkan potensi nilai jualan RM80 juta menerusi penyertaan 31 syarikat dan tiga koperasi tempatan di International Food and Beverage Exhibition (FOODEX Japan 2026) yang berlangsung di Tokyo Big Sight, Jepun bermula hari ini hingga 13 Mac ini.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memaklumkan delegasi KUSKOP diketuai oleh Ketua Setiausaha Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bersama agensi di bawah kementerian termasuk SME Corp Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Misi perdagangan itu turut disokong oleh agensi strategik lain iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata Jepun merupakan antara pasaran premium dunia yang menuntut standard yang berkualiti tinggi.

"Kejayaan menembusi pasaran ini akan meningkatkan kredibiliti serta daya saing produk Malaysia di peringkat global," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sim berkata penyertaan itu juga selari dengan strategi ABCD KUSKOP, iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran yang menjadi kerangka utama kementerian dalam memperkasakan usahawan tempatan.

FOODEX Japan 2026 ialah pameran perdagangan makanan dan minuman terbesar di Asia, menghimpunkan lebih 3,000 pempamer dari 80 negara pada edisi tahun ini.

KUSKOP memaklumkan delegasi Malaysia turut dijadualkan mengadakan sesi pertemuan bersama Setiausaha Agung ASEAN-Japan Centre (AJC) Dr Hirabayashi Kunihiko yang bertujuan meneroka potensi kerjasama strategik dua hala antara Malaysia dan Jepun pada masa hadapan.

“Selain itu, beberapa sesi libat urus bersama pemain industri global turut dilaksanakan bagi memperluas jaringan perniagaan usahawan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

KUSKOP memaklumkan pelaksanaan misi itu merupakan sebahagian daripada usaha strategik negara dalam menyokong agenda Malaysia MADANI khususnya dalam memperluas jaringan ekonomi, perdagangan dua hala serta meningkatkan daya saing PKS tempatan di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan