PASARAN > BERITA

PASARAN GETAH DIJANGKA DINIAGAKAN RENDAH MINGGU DEPAN

22/03/2025 10:35 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka akan diniagakan secara mendatar dengan kecenderungan sedikit menurun pada minggu depan, memandangkan pelbagai industri masih berhati-hati dengan dasar tarif Donald Trump, kata pakar industri Denis Low.

Memandangkan suasana ketidakpastian yang sedang berlaku dalam pasaran, komoditi berkemungkinan akan terjejas dengan ketara, kata beliau.

“Akibat ketidaktentuan ini, peniaga dan industri berkemungkinan mengambil pendirian untuk menyimpan sebarang komoditi yang sensitif terhadap harga pasaran, termasuk getah,” kata Low kepada Bernama.

Beliau juga berkata berikutan musim daun pokok getah luruh yang sedang berlangsung ketika ini sebarang penurunan dalam permintaan akan diimbangi oleh pengurangan dalam pengeluaran.

Sementara itu, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata pasaran getah mungkin melihat beberapa trend positif minggu depan disokong oleh langkah rangsangan China dan jangkaan kenaikan harga minyak.

Ia bagaimanapun berkata konflik peperangan yang berlaku di Timur Tengah mungkin boleh menjejaskan prospek pasaran dan perdagangan global secara negatif.

“Harga berkemungkinan akan dipengaruhi oleh keputusan berkaitan tarif Amerika Syarikat yang dijangka pada 2 April, memandangkan pasaran semakin tidak pasti tentang inflasi dan pertumbuhan ekonomi.

“Ia akan terus mengikuti prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, kekuatan ringgit berbanding dolar AS, dan harga minyak mentah penanda aras di tengah kebimbangan terhadap bekalan getah asli pada permulaan musim daun getah luruh dan musim hujan,” kata MARGMA.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat sebanyak 8.5 sen kepada 880 sen sekilogram, manakala lateks pukal merosot sebanyak 4.5 sen kepada 688.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan