POLITIK > BERITA

PILIH WAKIL RAKYAT SELARI KERAJAAN BAWA KELEBIHAN KEPADA PENGUNDI - AHMAD

25/09/2024 05:38 PM

KLUANG, 25 Sept (Bernama) -- Memilih wakil rakyat yang sehaluan dengan kerajaan negeri mempunyai kelebihan dalam merealisasikan usaha membangunkan kawasan atau kebajikan penduduk setempat.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Ahmad Maslan berkata wakil rakyat yang berpihak kepada kerajaan mempunyai kemudahan mendapatkan peruntukan serta lebih mudah untuk berurusan dengan pemimpin, jika mahu mengutarakan permasalahan dihadapi rakyat.

"Oleh itu, kita ingin menjadikan DUN (Dewan Undangan Negeri) Mahkota sebagaimana DUN Mengkibol dan Parlimen Kluang, yang sehaluan dalam Kerajaan Perpaduan," katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi projek pembesaran persimpangan Jalan Persekutuan-FT50 Batu Pahat-Mersing di sini hari ini. 

Turut hadir Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dan Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkibol Chew Chong Sin.

Selain itu, Ahmad juga menyeru semua penyokong Barisan Nasional (BN) di DUN Mahkota untuk keluar mengundi pada Sabtu ini, bagi memastikan kejayaan calon mereka Syed Hussien Syed Abdullah pada pilihan raya itu. 

Sementara itu, Wong pada majlis berbeza, menyeru pengundi luar DUN Mahkota termasuk yang bekerja di Singapura untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat yang dapat memberi perkhidmatan baik dan membawa suara rakyat di sini. 

Beliau berkata undi mereka dapat menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi di Johor dan kestabilan politik. 

"Undi mereka bermakna kerana ia memberi sokongan dan keyakinan kepada kerajaan negeri dan juga kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya. 

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar. 

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan