SUKAN > BERITA

PARA SUKMA: 'ANGKATAN EMAS' AHMAD SHAHMIM PECAH REKOD KEBANGSAAN

24/09/2024 03:54 PM

KUCHING, Sept 24 (Bernama) -- Atlet Kelantan Ahmad Shamim Mohd Kadri berada dalam kelas tersendiri apabila memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali sebelum mengesahkan dua pingat emas kategori 54kg lelaki di Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 hari ini.

Atlet berusia 22 tahun dari Pasir Puteh itu melakukan angkatan 122 kilogram (kg) pada percubaan pertama, diikuti 125kg pada angkatan kedua yang menyamai rekod kebangsaan sebelum mengatasi rekod yang dilakukannya di Sirkit Kebangsaan pada Februari lepas dengan 128kg.

Beliau kemudian mengangkat 132kg pada percubaan tambahan untuk memperbaiki rekod kebangsaannya sekali lagi sekali gus melebur rekod temasya Para SUKMA milik Endi Bak (108kg) dari Sarawak pada edisi 2018 di Perak, untuk pingat emas angkatan terbaik.

Penguasaan Ahmad Shamim diteruskan apabila meraih emas kedua bagi jumlah angkatan dengan melakukan keseluruhan 375kg manakala Muhammad Shazmin (266kg) dan Juwaidie Othman (195kg) masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

“Saya sangat gembira kerana ini kali pertama saya dapat buat angkatan 130kg ke atas di kejohanan. Saya ingin mendedikasikan kejayaan ini kepada ibu bapa, keluarga dan semua yang membantu. 

“Saya memang lahir dengan kondisi kaki bengkok. Saya sudah setahun masuk dalam program skuad kebangsaan, harap dapat terus meningkatkan prestasi untuk capai kejayaan di Sukan Para ASEAN di Thailand nanti,” katanya kepada pemberita.

Kelantan terus mendominasi gelanggang powerlifting hari ini apabila Wan Nur Azri Wan Azman mengungguli kategori bawah 107kg lelaki.

Beliau meraih emas bagi angkatan terbaik dengan memecahkan rekod temasya menerusi bebanan 191kg, yang hanya sekilogram mengatasi rekod atlet Pahang Mohd Shahmil Mohd Saad (190kg) pada edisi 2014, selain emas bagi jumlah angkatan dengan catatan 558kg. 

Wakil Sabah Mohd Fauzan Ramlan (122kg, 363kg) dan Abdul Rahman Abd Kadir dari Pahang (96kg, 281kg) masing-masing meraih perak dan gangsa bagi angkatan terbaik dan jumlah angkatan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan