SUKAN > BERITA

JIA TAK BANGGA SUMBANG PINGAT KONTINJEN SARAWAK

25/09/2024 04:13 PM

Oleh Farah Najihah Zuraimi

KUCHING, 25 Sept (Bernama) -- Empat tahun lepas, Ng Jia Tak mungkin menangisi nasibnya selepas kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya serta menghadapi cemuhan kerana kekurangan dirinya.

Namun hari ini, atlet kelahiran Kuching berusia 22 tahun itu boleh tersenyum bangga apabila berada di podium temasya Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 selepas meraih pingat perak acara 100 meter (m) kuak lentang lelaki S9 (kecacatan fizikal).

Lebih membanggakan, ini merupakan penyertaan pertamanya di temasya dwitahunan kebangsaan itu dan pada masa sama mencetak nama sebagai penyumbang pingat buat kontinjen Sarawak.

“Saya dilahirkan normal namun terlibat kemalangan motosikal ketika menghantar adik pulang dari sekolah pada 2020. Memang kaki (kanan) tidak dapat diselamatkan dan kena potong sebab kena virus. 

“… sebulan saya duduk hospital selepas pembedahan. Memang kadang-kadang ada rasa sedih sebab tidak dapat macam orang biasa buat tapi saya tetap gembira dan sentiasa percaya dengan kelebihan diri. Jadi saya mula berenang hingga jadi wakil negeri,” katanya kepada Bernama di Pusat Akuatik Pandelela Rinong hari ini. 

Jia Tak mencatatkan 1 minit 36.55 saat (s) untuk berada di belakang Muhammad Safwan Suhaimi dari Selangor yang memenangi pingat emas dengan catatan 1:19.09s, melebur rekod temasya 1:20.61s milik perenang Sabah Jaflee Jikol dilakukan pada edisi lepas.

Louis Simun dari Sabah meraih gangsa dengan 1:43.02s. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan