SUKAN > BERITA

PARA SUKMA: SABARIAH HADIAHKAN PERAK KEPADA SUAMI SEMPENA ULANG TAHUN PERKAHWINAN

25/09/2024 10:46 PM

KUCHING, 25 Sept (Bernama) -- Pengorbanan atlet ping pong Sabah Sabariah Ismail berjauhan dengan suami selama dua tahun tidak sia-sia apabila memenangi pingat perak pada temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di Sarawak hari ini.

Meskipun sekadar memenangi perak, atlet kelainan upaya sejak lahir itu menyifatkan kemenangan berkenaan sangat bermakna untuk dihadiahkan kepada suaminya di Kuala Lumpur sempena ulang tahun perkahwinan keempat mereka Jumaat ini. 

Beliau berkata ia lebih berbaloi apabila mengimbau semula keputusannya untuk berhenti kerja sebagai tukang jahit semata-mata menyertai skuad ping pong negeri di Bawah Bayu itu bagi membuat persediaan pada Para SUKMA 2024 sejak dua tahun lalu. 

“Saya rasa, jadi atlet menghidupkan lagi saya sebagai orang kurang upaya (OKU), saya memang minat ping pong jadi saya buat keputusan berhenti bekerja dan berjauhan dengan suami, sudah dua tahun saya berjauhan dengan suami.

“Jumpa suami setahun sekali atau dua kali sahaja sejak 2022, jadi pingat perak ini untuk ulang tahun perkahwinan saya yang keempat Jumaat ini,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan hari ini. 

Pada perlawanan perseorangan berdiri wanita 6-8 (kecacatan fizikal) yang berlangsung di  Sekolah Jenis Kebangsaan (China) Chung Hua No.3 itu, Sabariah meraih pingat perak selepas mengetepikan rakan senegeri Ferllin Willie Freddy 10-12, 11-5, 11-6, 11-5 pada perlawanan pertama. 

Atlet kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu bagaimanapun ditewaskan pencabar Terengganu Siti Nor Athirah Mohd Anuar 5-11, 7-11, 5-11, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan perak. 

Sementara itu, aksi perseorangan berdiri lelaki 8 (kecacatan fizikal) pula diungguli atlet Selangor Mohd Syazreel Amri Mohd Ariffin yang menewaskan atlet Negeri Sembilan Mohd Shah 11-8, 11-5, 8-11,11-6 pada aksi final. 

Pingat gangsa menjadi milik atlet Terengganu Muhammad Khalid Imran Maslam yang mudah mengetepikan Muhammad Saiful Bahri Wan Din dari Selangor 5-11, 13-11, 11-2,11-6 dalam aksi penentuan pingat gangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan