SUKAN > BERITA

PARA SUKMA: STATUS ABANG SULUNG LUMPUH SEPARUH BADAN BAKAR SEMANGAT ZULKIFFLI

25/09/2024 06:31 PM

KUCHING, 25 Sept (Bernama) -- Atlet Pulau Pinang Mohd Zulkiffli Mazeri memikul tanggungjawab besar sebagai abang sulung kepada tujuh adik-beradik meskipun selepas disahkan lumpuh separuh badan akibat kemalangan jalan raya pada usia 19 tahun, kira-kira 10 tahun lalu. 

Zulkiffli, 29, berkata episod duka itu kadangkala bermain dalam fikirannya kerana ketika itu beliau masih ‘mentah’, jadi sukar untuk menerima kenyataan dan meneruskan kehidupan. 

Bagaimanapun, berkat sokongan tidak berbelah bahagi keluarga terutamanya keputusan menghantar beliau ke pusat rehabilitasi di Melaka pada 2016 memberi sinar harapan baharu kepadanya.

Keputusan Zulkiffli menyertai acara renang tidak sia-sia selepas beliau kini mewakili Pulau Pinang buat kali ketiga pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di Sarawak.

“Hampir setahun lebih selepas kemalangan motosikal itu saya cuba bangkit semula, ini kerana menjadi abang sulung memerlukan saya menjadi contoh kepada adik-beradik lain untuk mereka gagah dan berani melakukan apa jua perkara. 

“Masuk pusat rehabilitasi di Melaka itu sangat membantu sebab saya dapat lihat orang kurang upaya (OKU) yang lebih teruk daripada saya. Jadi bila balik Pulau Pinang saya memang sudah ada sasaran kehidupan sendiri,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini hari ini.

Terdahulu, Zulkiffli menamatkan saingan di tempat kelima daripada lapan peserta bagi acara 50 meter kuak kupu-kupu lelaki S6/S7 (kecacatan fizikal) selepas merekodkan 1 minit 04.19 saat (s). 

Wakil Sabah Shahafiq Abdullah muncul juara dengan catatan 37.56s, manakala atlet tuan rumah Galang Jabai dan Muhammad Syafiq Azman dari Kedah masing-masing di tempat kedua (44.72s) dan ketiga (45.35s). 

Berkongsi pengalaman selama setahun setengah berada di pusat rehabilitasi berkenaan, Zulkiffli berkata beliau pada mulanya diperkenalkan dengan sukan lawan pedang, memanah dan angkat berat tetapi merasakan sukan berkenaan tidak ‘meresap’ dalam  jiwanya sama sekali. 

Namun setelah diperkenalkan dengan sukan renang pada 2017, beliau menganggap pengalaman itu sebagai jatuh cinta pandangan pertama kerana sudah biasa menangkap ikan dalam air sebagai hobinya pada waktu lapang.

“Sekarang saya memang sepenuh masa menjadi atlet renang. Kalau pergi latihan pun saya akan pandu kereta sendiri yang sudah diubah suai dari Pekan Penaga, Pulau Pinang ke Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengambil masa kira-kira sejam lebih. 

“Macam saya lumpuh separuh badan dari paras dada sehingga kaki, jadi kalau latihan saya kena kuatkan bahagian tangan sebab masa berenang memang berharap pada kekuatan tangan,” katanya yang masih menyimpan harapan mewakili Malaysia pada temasya antarabangsa selepas tawaran menyertai temasya di Manila, Filipina pada 2019 terpaksa dibatalkan akibat pandemik COVID-19.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan