SUKAN > BERITA

PANDUAN RINGKAS INTERVENSI AWAL CEGAH BUNUH DIRI DITERBIT AKHIR TAHUN INI - HANNAH

26/11/2025 05:18 PM

PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Panduan ringkas intervensi awal menangani kecenderungan bunuh diri dijangka diterbitkan akhir tahun ini, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata panduan itu bertujuan membantu masyarakat, penjaga dan majikan mengenal pasti tanda awal tekanan mental serta melakukan intervensi terhadap individu berisiko bunuh diri.

Hannah berkata panduan berkenaan sedang dimuktamadkan dan dijangka diterbitkan selepas proses libat urus menyeluruh dengan pelbagai pihak berkaitan termasuk golongan belia, pakar kesihatan, agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).

"Panduan ringkas ini akan menjadi rujukan bagi mereka yang berdepan kecenderungan mencederakan diri atau bunuh diri serta kepada penjaga dan majikan yang tidak tahu langkah yang perlu diambil apabila berhadapan situasi sedemikian.

"Panduan ini diwujudkan supaya rakan serumah, kawan atau ahli keluarga boleh melakukan intervensi awal. Ia juga membantu penjaga bertindak sebelum terlambat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Belia: Bantuan Awal Menangani Tingkah Laku Bunuh Diri Belia di sini hari ini.

Hannah turut menasihati individu yang memerlukan bantuan supaya jangan takut berjumpa psikiatri atau doktor.

"Tiada stigma dalam agama atau masyarakat, intervensi perubatan terbukti berkesan," katanya.

Selain panduan, beliau berkata antara cadangan yang dibangkitkan dalam persidangan meja bulat itu ialah memperbanyak latihan kesedaran mental kepada majikan melalui HRD Corp serta memperkenalkan masa "well-being hour" di universiti dan tempat kerja bagi mengurangkan tekanan.

"Kita mahu satu jam khusus untuk aktiviti kesejahteraan (seperti) berjalan, bersenam atau berehat supaya golongan muda dapat mengurangkan tekanan," katanya.

Beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan juga akan melaksanakan kempen video kesedaran nasional bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai isu kesihatan mental dan bahaya stigma sosial terhadap individu yang sedang berjuang dengan tekanan.

Langkah awal, katanya perlu diambil untuk membina ekosistem yang lebih prihatin dan berempati.

Hannah berkata pada masa sama, penjaga dan keluarga yang kehilangan ahli akibat bunuh diri juga perlu diberikan sokongan psikologi agar mereka tidak menjadi mangsa seterusnya.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan