WILAYAH - TIMUR > BERITA

TIADA RAKYAT MALAYSIA TERLIBAT INSIDEN TEMBAKAN, LETUPAN BOM DI SUNGAI GOLOK - POLIS

08/03/2025 11:46 PM

KOTA BHARU, 8 Mac (Bernama) -- Polis mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden tembakan dan letupan bom di Sungai Golok, Thailand, malam ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand akan diperketat susulan kejadian itu.

“Semua ketua balai polis dan Pasukan Gerakan Am telah diarahkan untuk meningkatkan kawalan di kawasan berisiko tinggi, khususnya pangkalan haram dengan pemantauan 24 jam,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Polis Thailand sebelum ini menyatakan berlaku letupan di sebuah pos kawalan keselamatan di luar Pejabat Daerah Sungai Golok di Jalan Sungai Golok-Sungai Padi, dan beberapa tembakan telah dilepaskan oleh sekumpulan penyerang, menyebabkan sekurang-kurangnya dua anggota keselamatan Thailand maut manakala lapan lagi cedera dalam serangan yang berlaku kira-kira 7.10 malam.

Penyerang dikatakan melepaskan beberapa das tembakan sebelum melemparkan lima bom tangan ke arah pos kawalan di hadapan Pejabat Daerah Sungai Golok.

Pasukan keselamatan kini menjalankan pemeriksaan di kawasan kejadian, dan orang ramai dinasihatkan mengelak laluan terjejas.

Sejak awal Ramadan, pihak berkuasa di Sungai Golok telah memperketat langkah keselamatan susulan peningkatan risiko serangan di kawasan sempadan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan