WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUAMI ISTERI ANTARA EMPAT DITAHAN DISYAKI EDAR DADAH

21/03/2025 03:18 PM

RAUB, 21 Mac (Bernama) --  Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan empat individu termasuk pasangan suami isteri di tempat letak kereta di Jalan Pasar, di sini Rabu lepas. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 37 hingga 59 tahun itu diberkas kira-kira 3.30 petang ketika berada di dalam dua kereta.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam kereta jenis Toyota Vios dan Nissan Navara itu, polis menemukan dadah disyaki syabu dan ganja dianggar seberat 13 kilogram bernilai RM421,286. 

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini aktif sejak tiga bulan lepas dengan didalangi warga tempatan dan mendapatkan bekalan dadah dari Lembah Klang untuk diedarkan di Pahang serta dibawa ke negara jiran," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Yahaya berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan sama ada terdapat individu lain terlibat dalam jenayah itu.

Beliau berkata dadah dirampas mampu dibekalkan kepada 26,331 penagih.  

“Ujian air kencing mendapati wanita itu positif terhadap dadah manakala suaminya dan seorang lagi suspek tempatan mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya sambil menambah keempat-empat individu itu direman hingga 26 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan