WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ULANG TAHUN KE-73: APM TERUS PERKASA TUGAS, PERKUKUH KESELAMATAN RAKYAT, NEGARA

24/03/2025 05:37 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus memperkukuh peranan sebagai antara agensi utama pengurusan bencana negara dengan pelbagai pencapaian strategik sempena ulang tahun ke-73 penubuhannya hari ini.

Pengarah APM Selangor Ghazali Ab Rahman berkata hala tuju agensi itu terus diperkasakan melalui pelancaran Dekad Platinum Pertahanan Awam (DPPA) 2022-2032 pada tiga tahun lepas, sebagai panduan strategik masa depan.

Beliau berkata DPPA yang dilancarkan Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed bertujuan memacu APM menjadi agensi lebih efektif dalam perlindungan nyawa, harta benda dan kebajikan komuniti, selaras dengan matlamat pemerkasaan pengurusan bencana di peringkat nasional.

“Tahun 2024 mencatat sejarah tersendiri apabila 302 perjawatan kontrak diluluskan iaitu jumlah tertinggi dalam sejarah APM selain kejayaan latihan komuniti melibatkan 771,505 orang berbanding sasaran asal 330,000 individu,” katanya ketika menjadi tetamu Program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio hari ini.

Ghazali berkata antara kejayaan lain APM tahun lepas ialah lantikan khas warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui program Komuniti Siaga (CDA) iaitu pendaftaran 6,398 penjawat awam sebagai Skuad Ihsan MADANI selain menjadi agensi kedua tertinggi dalam respon panggilan MERS 999 selepas Kementerian Kesihatan (KKM).

Sambutan ulang tahun APM ke-73 bertemakan “Sukarelawan dan Pertahanan, Teras Kesejahteraan Nasional” juga akan menyaksikan pelancaran Briged Kesenian, Kreatif dan Media APM sebagai usaha mempromosikan peranan agensi lebih inklusif kepada masyarakat umum.

“Kita mahu masyarakat lebih faham peranan sebenar APM. Bukan hanya berkait tugas menangkap ular atau bantuan perubatan, tetapi turut memainkan peranan penting dalam keselamatan negara. Kita harap lebih banyak dokumentari, drama atau filem memaparkan peranan APM akan diterbitkan,” katanya.

Ghazali berkata tema sambutan tahun ini juga merupakan penghargaan terhadap sumbangan sukarelawan yang memainkan peranan penting dalam menyokong komuniti tanpa mengharapkan balasan.

“Latihan berterusan dan peningkatan kemahiran akan terus dilaksana bagi memperkasakan pegawai serta anggota. APM juga berbangga kerana ada pegawai kini turut ditempatkan di Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.

Ghazali berharap dalam tempoh lima tahun akan datang, lebih banyak peluang kerjaya dan penambahan aset dapat dilaksanakan, di samping menyeru semua warga APM menjaga etika serta integriti dalam menjalankan amanah di era kecanggihan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan