WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGARAH SYARIKAT WARGA INDIA DIDAKWA PECAH AMANAH LEBIH RM140,000

05/05/2025 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat, empat tahun lepas.

Rajinder Singh, 57, didakwa melakukan pecah amanah wang syarikat Vantage Trading Partners berjumlah RM141,486.12, iaitu wang yang dalam jagaan tertuduh sebagai pemegang kuasa di syarikat berkenaan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di syarikat tersebut di Ilham Tower, Jalan Binjai di sini, pada 13 Okt 2021 dan 26 Nov 2021 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan menggunakan wang sama tanpa persetujuan atau ratifikasi mesyuarat agung di lokasi dan tarikh sama, mengikut Seksyen 218 (1) (a) Akta Syarikat Malaysia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 218 (2) akta berkenaan, yang berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda hingga RM3 juta atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir tidak menawarkan jaminan, namun jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan tertuduh diikat jamin, pihaknya mohon jaminan RM70,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran kediamannya.

Peguam Daniel Annamalai yang mewakili Rajinder memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung isteri warga British serta dua anak, masing-masing berumur 12 dan 17 tahun.

"Tertuduh tidak berisiko untuk melarikan diri kerana beliau tinggal di negara ini selama tujuh tahun dan mempunyai perniagaan di Malaysia, India, Bangladesh dan Indonesia selain trader untuk kerajaan empat negara itu," katanya.

Peguam itu juga memohon agar pasport antarabangsa tertuduh tidak diserahkan kepada mahkamah memandangkan pekerjaan tertuduh memerlukannya untuk ke luar negara.

Beliau berkata sekiranya pasport tertuduh diperintah diserahkan kepada mahkamah, pihaknya memohon diserahkan minggu depan kerana anak guamnya perlu ke Indonesia pada Rabu ini dan tiket penerbangan sudah dibeli.

Hakim Zulqarnain Hassan tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 5 Jun ini untuk sebutan kes.

"Prinsip jaminan adalah untuk memastikan sama ada tertuduh hadir atau tidak ke mahkamah. Tertuduh serta isterinya adalah warga asing dan negara ini bukan tanah air mereka. Oleh itu, jaminan tidak dibenarkan," kata Zulqarnain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan