WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GENTING MALAYSIA DAN KESATUAN PEKERJA METERAI CA KE-14, GAJI MINIMUM DINAIKKAN KEPADA RM1,800

01/12/2025 06:12 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Genting Malaysia Berhad (GENM) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja GENM mencatatkan sejarah menerusi Perjanjian Kolektif (CA) ke-14 ditandatangani hari ini, yang menyaksikan kenaikan gaji minimum pekerja syarikat kepada RM1,800 sebulan berbanding kadar statutori RM1,700. 

Perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua pihak itu turut memperuntukkan pelarasan gaji sebanyak 10 peratus bagi pekerja yang layak, dengan bayaran pelarasan bagi tempoh Ogos hingga Oktober tahun ini telah disalurkan pada 30 Nov.

Perkara lain terkandung dalam CA merangkumi semakan elaun, pengembangan manfaat perubatan dan rawatan pesakit luar untuk pekerja serta ahli keluarga terdekat, penambahbaikan bayaran balik pengangkutan bagi tujuan rawatan perubatan, peningkatan peruntukan faedah kematian serta pelarasan terhadap kenaikan tahunan. 

Menteri Sumber Manusia Steven Sim dalam ucapannya pada majlis itu berkata CA adalah antara instrumen yang baik dalam meningkatkan gaji pekerja.

“Syabas kepada perunding daripada kedua-dua pihak, ini adalah situasi menang-menang yang sebenar… paling penting saya dengar ia cukup pantas, dalam masa tiga bulan sahaja selesai berunding. Akhirnya hampir 10,000 pekerja di bawah Genting akan memperoleh manfaat,” katanya di sini hari ini. 

Sim turut mengingatkan majikan supaya tidak menggunakan gaji minimum RM1,700 sebagai asas gaji permulaan kerana ia adalah panduan bagi pekerjaan paling asas dan berkemahiran rendah.

Beliau berkata kerajaan juga menyediakan garis panduan gaji bagi pelbagai pekerjaan berkemahiran seperti  jurutera, pereka grafik dan wartawan supaya majikan dan pekerja boleh menggunakannya sebagai asas rundingan.

“Kerajaan juga menyediakan insentif melalui Dasar Gaji Progresif dan subsidi kepada syarikat supaya pekerja boleh menerima gaji lebih tinggi. Hasilnya pekerja memperoleh manfaat antara RM200 hingga RM300 daripada dasar gaji itu,” katanya. 

CA ditandatangani Timbalan Presiden GENM Lee Thiam Kit manakala Resorts World Genting (RWG) diwakili Ketua Pegawai Operasi Aaron Chia, Naib Presiden Kanan Sumber Manusia Tan Boo Chuan serta Naib Presiden Tenaga Kerja dan Pampasan Yun Leong Yu.

 Bagi pihak Kesatuan Pekerja-Pekerja GENM, ia diwakili Presiden Sikindar Ibrahim, Timbalan Presiden Mohd Isa Nordin, Setiausaha Lawrence Saiman dan Bendahari Tan Cheng Fei. 

Sementara itu, Lee berkata CA yang ditandatangani hari ini membuktikan komitmen bersama pihak pengurusan dan Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam memastikan keharmonian industri di GENM. 

Beliau berkata perjanjian itu bukan sekadar dokumen undang-undang semata bahkan melambangkan semangat kerjasama, persefahaman dan saling menghormati antara majikan dan pekerja yang menjadi asas pada hubungan pekerjaan yang stabil, adil dan progresif.

“Dengan adanya perjanjian ini, kami akan memastikan kesejahteraan pekerja terus dipelihara selaras dengan matlamat syarikat untuk bertumbuh dengan maju.

“Saya berharap agar semangat kerjasama ini akan terus dipupuk bukan sahaja dalam aspek perjanjian tetapi dalam usaha meningkatkan produktiviti, inovasi dan daya saing syarikat,” katanya. 

CA berkenaan mula berkuat kuasa dari 1 Ogos lepas dan sehingga 31 Julai 2028, meliputi semua pekerja GENM yang sah. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan