WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKPS RAMPAS PELBAGAI JENIS BAHAN MAKANAN TIDAK IKRAR DI BUKIT KAYU HITAM

30/01/2026 03:46 PM

ALOR SETAR, 30 Jan (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan membawa masuk pelbagai jenis makanan yang tidak diikrarkan kepada kastam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam semalam.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasarudin Md Nasir berkata rampasan itu dilakukan hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori yang melalui laluan import di kompleks berkenaan pada 10 malam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati konsainan tersebut mengandungi pelbagai jenis makanan yang tidak diikrarkan kepada pihak berkuasa.

“Antara barangan yang dirampas ialah tepung beras, beras wangi, beras pulut, serbuk perasa berperisa ayam serta mi segera berperisa tomyam udang. Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM10,400, berdasarkan nilai semasa pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiada sebarang tangkapan individu dibuat semasa operasi rampasan dijalankan.

Kesemua barangan rampasan itu katanya, ditahan dan disimpan di stor Unit Mesin Pengimbas Kargo (UMPK) bagi tujuan tindakan lanjut mengikut prosedur dan peraturan sedia ada.

Sementara itu, Mohd Nasarudin berkata menerusi Ops Kenderaan Asing yang dilaksanakan sejak 15 Jan lepas hingga kini, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 180 kenderaan, dengan lima notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan teknikal dan dokumentasi. 

“Selain itu, sebanyak 29 motosikal penambang Thailand telah diperiksa dan semuanya diarahkan berpatah balik ke Thailand tanpa sebarang tangkapan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan