PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menahan 40 warga asing dalam satu operasi khas yang dijalankan di sebuah banglo tiga tingkat di Persiaran Ritchie, Desa Pahlawan, di ibu negara, awal pagi semalam.
Operasi yang digerakkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas pada 12.27 tengah malam itu dibuat hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Datuk Lokman Effendi Ramli dalam kenyataan hari ini memaklumkan, dalam serbuan itu seorang lelaki warga China yang dipercayai dalang utama kegiatan tidak bermoral membabitkan warga asing ditahan bersama 39 individu lain.
Mereka terdiri daripada 11 lelaki, 19 wanita warga China, lima wanita Vietnam, masing-masing dua wanita Myanmar dan Jepun, dan kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 43 tahun.
“Semakan awal mendapati dalang utama dan seorang lelaki warga China memiliki pas penggajian yang masih sah laku, enam lelaki dan 19 wanita warga China, dua wanita Jepun dan lima wanita Vietnam memiliki pas lawatan sosial, manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.
Beliau berkata banglo itu dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral, dan dilengkapi pelbagai kelengkapan dengan bilik yang telah diubah suai, dan berada di kawasan kediaman mewah bagi mengelakkan aktiviti itu dikesan pihak berkuasa.
“Pekerja lelaki China yang dikenali sebagai ‘salesman’ yang akan mencari pelanggan menggunakan platform dalam talian dengan menyasarkan pelanggan warganegara asing dan tempatan yang berbangsa Cina sahaja.
“Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM1,000 bagi 45 minit dan RM3,500 bagi 90 minit dan kegiatan itu dipercayai telah beroperasi selama enam bulan,” katanya.
Beliau berkata seorang lelaki warga China disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan manakala dua lagi lelaki, dan dua wanita Myanmar disiasat di bawah Seksyen 6(3) akta sama.
Sembilan lelaki, dan 19 wanita rakyat China, dua Jepun serta lima Vietnam disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan seorang lelaki Singapura, dan lelaki tempatan turut diberikan notis untuk hadir membantu siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial