KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang mahu polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook, Khor Soon Seat yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.
Tegasnya, tindakan menghina mana-mana agama bukan sahaja mencabuli prinsip keharmonian dan perpaduan negara, tetapi juga boleh mengundang akibat yang sangat serius kepada keamanan serta ketenteraman awam.
Aaron memberi amaran tegas bahawa sebarang kenyataan atau tindakan yang menyentuh sensitiviti agama lain akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi oleh pihak penguat kuasa.
“Saya ingin mengingatkan bahawa tiada ruang untuk sebarang bentuk kebencian atau provokasi agama di negara ini. Kerajaan akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menimbulkan perpecahan atau ketegangan antara kaum dan agama,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Aaron berkata Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian agama dan budaya, justeru setiap individu wajib menghormati serta menjaga sensitiviti agama masing-masing.
“Setiap warganegara Malaysia wajib faham, hormat, dan terima kepelbagaian yang ada. Marilah kita semua hidup dalam suasana yang penuh hormat dan saling memahami demi menjaga keamanan serta keharmonian negara yang kita cintai ini,” katanya.
Tular baru-baru ini mengenai individu bernama Khor Soon Keat, yang dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW menerusi hantaran di media sosial.
-- BERNAMA