AM > BERITA

MCMC, MIDA Bangunkan Rangka Kerja Penilaian Tahap Kesediaan 5G Dalam Kalangan PKS

25/09/2024 10:34 AM

PUTRAJAYA, 25 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menganjurkan Bengkel Pelaksanaan Kerangka Penilaian Tahap Kesediaan Industri Bagi Perkhidmatan 5G Di Malaysia.

Bengkel sehari yang di adakan di sini semalam bertujuan membangunkan kerangka bagi menilai tahap ketersediaan sektor utama ekonomi negara iaitu pembuatan, perkhidmatan, pembinaan dan pertanian dalam penerimagunaan teknologi 5G.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bengkel berkenaan adalah tindakan susulan daripada pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MCMC dan MIDA pada 4 Julai lepas, bagi menjalankan pelbagai inisiatif dengan memanfaatkan rangkaian 5G dalam sektor vertikal serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Parameter yang akan digunakan untuk menilai tahap ketersediaan sektor utama meliputi aspek lokasi, pelaburan, kemahiran atau bakat, infrastruktur digital dan perkhidmatan.

"Maklum balas dikemukakan ini kemudiannya akan digunakan untuk membangunkan sebuah kerangka kerja penilaian yang komprehensif bagi penerimagunaan teknologi 5G oleh pelbagai industri di Malaysia, termasuk dalam kalangan PKS," menurut kenyataan itu.

Antara agensi turut serta dalam bengkel berkenaan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), SIRIM Berhad, SME Corporation Malaysia (SME Corp), Digital Nasional Berhad (DNB), syarikat telekomunikasi serta persatuan industri berkepentingan. 

MCMC menyifatkan penganjuran bengkel berkenaan sebagai satu langkah signifikan ke arah memastikan ketersediaan industri dalam mengadaptasi teknologi 5G. 

"Ia berupaya meningkatkan tahap produktiviti dan kecekapan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan," menurut MCMC.

Sementara itu, MIDA dalam kenyataan sama turut menekankan komitmen untuk mewujudkan persekitaran kondusif bagi penggunaan teknologi canggih tersebut. 

"Penerimagunaan teknologi 5G ini bukan sahaja akan meningkatkan produktiviti  dalam industri utama, malah menjadikan Malaysia sebagai peneraju inovasi digital di rantau ini sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara di peringkat global," menurut MIDA.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan