AM > BERITA

Johor Harap Kerajaan Pusat Lulus RTB Sungai Mengkibol, Melantai

25/09/2024 03:34 PM

JOHOR BAHRU, 25 Sept (Bernama) -- Johor berharap Kerajaan Persekutuan dapat meluluskan permohonan projek rancangan tebatan banjir (RTB) Sungai Mengkibol dan Sungai Melantai di Kluang berjumlah RM900 juta bagi penyelesaian jangka panjang kepada masalah banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata RTB Sungai Mengkibol berjumlah RM700 juta dijangka memanfaatkan 14,000 penduduk manakala RTB Sungai Melantai bernilai RM200 juta memanfaatkan 2,000 penduduk.

“Jika dapat kelulusan daripada kerajaan pusat, mungkin kita (Johor) dapat selesaikan masalah ini (banjir) secara jangka masa panjang,” katanya kepada pemberita dalam temu bual di sini semalam, yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata dua projek berkenaan merupakan tambahan kepada tujuh RTB yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan antaranya di Kota Tinggi, Batu Pahat, Segamat dan Muar dengan peruntukan keseluruhan RM1.6 bilion.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana tahun ini sahaja kita dapat tujuh projek RTB dan ini merupakan pengubah keadaan kerana untuk menjadi sebuah negeri maju, isu banjir ini harus kita selesaikan dan mungkin kita buat secara berfasa, kita utamakan kawasan yang sudah bertahun-tahun hadapi isu banjir,” katanya.

Mohamad Fazli berkata projek RTB yang telah diluluskan itu dijangka siap tahun hadapan dan satu pasukan petugas dianggotai kerajaan negeri serta Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) telah diwujudkan untuk melancarkan pelaksanaan projek-projek berkenaan.

Isnin lepas, Mohamad Fazli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Pasir berkata kerajaan negeri telah membelanjakan hampir RM3 juta untuk memastikan tebing Sungai Melantai dan Sungai Mengkibol tidak runtuh dan airnya tidak melimpah.

Beliau dilaporkan berkata Sungai Melantai dan Sungai Mengkibol didapati menjadi punca banjir di kawasan Kluang yang memberi kesan terhadap 2,000 penduduk hampir setiap tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan