AM > BERITA

Polis Kelantan Mohon Helikopter Persediaan Hadapi Monsun Timur Laut

25/09/2024 06:23 PM

KOTA BHARU, 25 Sept (Bernama) -- Polis Kelantan memohon agar sebuah helikopter ditempatkan di negeri ini sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), dijangka bermula tidak lama lagi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan DCP Mohd Ali Tamby berkata helikopter berkenaan, diperlukan untuk tugas-tugas menyelamat dan menghantar bantuan bukan sahaja di Kelantan, tetapi juga di Terengganu dan Pahang.

Beliau berkata polis juga telah menyediakan aset lain seperti 102 pacuan empat roda, bot kecil (46), lori (41) dan 21 van.

“Selain itu, lebih 1,000 anggota polis Kelantan bersedia menghadapi MTL, dan tugas mereka akan ditetapkan di kawasan berisiko terutama di Pasir Mas yang sering berhadapan limpahan air Sungai Golok, Thailand.

“Setiap pegawai dan anggota polis yang ditugaskan semasa banjir akan fokus kepada tugasan seperti memantau rumah-rumah atau harta benda yang ditinggalkan mangsa ketika dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Mohd Ali berkata polis juga akan sentiasa berhubung dengan kesemua agensi yang terlibat bagi melancarkan segala gerak kerja pengoperasian.

“Kita juga menghadiri beberapa mesyuarat yang diadakan oleh Pusat Bencana Negeri dan yakin musim banjir kali ini dapat ditangani dengan lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan