AM > BERITA

Mangsa Banjir Di Kedah Terus Berkurangan Kepada 2,942 Orang

25/09/2024 09:36 PM

ALOR SETAR, 25 Sept (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Kedah berkurangan kepada 2,942 orang daripada 939 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 5,454 orang daripada 1,745 keluarga pagi tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa dari empat daerah terlibat ditempatkan di 20 PPS berbanding 29 PPS sebelumnya.

Kota Setar kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi sebanyak 1,576 mangsa dairpada 521 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS diikuti daerah Pendang dengan 1,220 mangsa daripada 366 keluarga berada di 10 PPS.

Satu PPS masing-masing di daerah Kubang Pasu dan Pokok Sena masih beroperasi yang menempatkan  82 mangsa (27 keluarga) dan 64 orang (25 keluarga).

Sementara itu, berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hanya dua sungai iaitu Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar berada pada paras amaran.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan