AM > BERITA

Kedutaan Malaysia Di Helsinki Galakkan Jalinan Antara ASEAN-Finland

25/09/2024 10:34 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Kedutaan Malaysia di Helsinki selaku Pengerusi Jawatankuasa Helsinki ASEAN (AHC) 2024 dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA Stockholm) mengetuai pasukan yang terdiri daripada wakil Kedutaan yang berpangkalan di Helsinki untuk lawatan bermaklumat selama dua hari ke Kota Kokkola di Pantai Barat Finland.

Wakil dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam yang berpangkalan di Helsinki mengambil bahagian dalam lawatan itu.

Menurut kenyataan Kedutaan Malaysia, Pengerusian AHC Malaysia bertujuan untuk menggalakkan hubungan berterusan antara ASEAN dan Finland, mengukuhkan perpaduan dan persahabatan serta memperluaskan potensi kerjasama dengan institusi dan individu di negara ini; serta meneroka peluang pelaburan dan akses pasaran dengan syarikat tempatan.

Menurut kenyataan itu, Kokkola dipilih sebagai destinasi pilihan untuk AHC kerana ia merupakan sebuah bandar yang pesat membangun yang terkenal dengan kekuatan dalam industri dan teknologi.

"Ia merupakan pusat industri kimia yang kukuh, penapisan logam dan ekosistem inovasi yang semakin berkembang," menurut kenyataan itu.

"Kokkola menekankan kepentingan kepada kelestarian dan kerjasama industri, menjadikannya lokasi yang menarik untuk kerjasama perniagaan dan penyelidikan," tambah kenyataan itu.

Kedutaan Malaysia berkata lawatan ke Kokkola itu telah dimulakan oleh Kedutaan Malaysia di Helsinki dengan usaha bersama rakyat Malaysia dan Pengurus Kawasan Vitec Raisoft, Stella Pon-Onnela serta Setiausaha Datuk Bandar Kokkola, Sonja Remell.

Lawatan ini tepat pada masanya kerana Malaysia akan mempengerusikan ASEAN pada 2025 dan kami (Kedutaan Malaysia di Helsinki) terus berada di barisan hadapan ASEAN sejajar dengan tema Pengerusian Malaysia, “Melangkah Maju Bersama”, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Kuasa Usaha Kedutaan dan Pengerusi AHC 2024, Ariff Ali menekankan bahawa lawatan berkenaan menyediakan platform penting "untuk membina hubungan berterusan dan meneroka pasaran baharu."

"Lawatan ini juga memberi tumpuan kepada industri utama yang berkembang pesat di Finland seperti kelestarian dan tenaga bersih, inovasi penjagaan kesihatan dan penjagaan warga emas, kerjasama maritim dan industri serta kerjasama pendidikan dan teknologi," katanya.

Wakil-wakil yang berpangkalan di Helsinki telah melawat tujuh tempat, satu daripadanya ialah Universiti Sains Gunaan Centria - sebuah institusi pengajian tinggi pelbagai disiplin yang menawarkan program dalam bidang kejuruteraan, perniagaan dan teknologi, dengan tumpuan utama kepada penyelidikan gunaan, inovasi, dan kerjasama antarabangsa.

Mereka juga melawat Raitech Oy (Raisoft) yang menyediakan penyelesaian perisian untuk penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sosial dan Kewatec AluBoat, sebuah syarikat yang mereka bentuk dan mengeluarkan bot aluminium berprestasi tinggi untuk kegunaan profesional.

Lain-lain termasuk HUR, pengeluar peralatan senaman dan pemulihan canggih yang menggunakan teknologi rintangan udara; Kokkola Industrial Park (KIP) satu daripada taman perindustrian terbesar di Scandinavia; Hycamite TCD Technologies, sebuah syarikat yang pakar dalam pengeluaran hidrogen menggunakan kaedah lestari dan Keliber Lithium Project (Sibanye-Stillwater), sebuah projek litium utama di Finland.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan