KOTA KINABALU, 12 Nov (Bernama) -- Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya merupakan antara anggota Kabinet Sabah yang tidak tersenarai sebagai calon mana-mana parti untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 setakat ini.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat dengan majoriti 1,124 undi pada PRN Sabah lepas di bawah tiket Barisan Nasional (BN).
Pada Ahad lepas, BN mengumumkan Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed juga Ketua UMNO Bahagian Putatan sebagai calon DUN itu.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula hari ini mengumumkan Setiausaha Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Tanjung Keramat Shah Alfie Yahya, yang juga adik kepada Shahelmey sebagai calon di DUN tersebut.
Shahelmey juga Ahli Parlimen Putatan bersama Ahli Parlimen Kalabakan Andi Muhammad Suryady, digantung keahlian UMNO selama enam tahun sejak 2023 selepas menentang keputusan UMNO Sabah menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan negeri, mencetuskan kemelut politik dinamakan “Langkah Kinabalu” pada Januari 2023.
Selain itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew yang menang kerusi DUN Api-Api dengan majoriti besar 5,347 undi, tidak diumum sebagai calon mewakili PKR pada PRN Sabah pada kali ini.
PKR juga pada Ahad lepas mengumumkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah Thonny Chee sebagai calon DUN tersebut.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe juga Pengerusi DAP Sabah beralih angin ke DUN Likas pada PRN kali ini mewakili Pakatan Harapan, sebelum ini beliau memenangi kerusi DUN Luyang dengan majoriti besar 14,521 undi.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim yang memenangi kerusi DUN Tamparuli pada PRN lepas dengan majoriti 3,517 undi, masih menunggu kerana calon GRS bagi DUN itu akan diumumkan kemudian.
Ahli Kabinet Sabah lain, termasuk Hajiji juga Pengerusi GRS yang bakal bertanding di DUN Sulaman dimenangi pada PRN lepas dengan majoriti 3,099 undi, bakal bertanding kerusi DUN sama dimenangi mereka sebelum ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian PRN Sabah ke-17, manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov serta 25 Nov sebagai tarikh pengundian awal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial