DUNIA > BERITA

PESAWAT UNITED AIRLINES ELAK PERLANGGARAN DI UDARA, DUA PENUMPANG CEDERA

25/09/2024 12:47 PM

WASHINGTON, 25 Sept (Bernama-UPI) -- Dua penumpang cedera ketika juruterbang pesawat United Airlines terpaksa membuat maneuver untuk menggelakkan pelanggaran di udara, lapor United Press International (UPI).

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), seorang penumpang cedera parah dan seorang lagi mengalami kecederaan ringan selepas juruterbang penerbangan UA 2428 dari Newark, New Jersey menerima amaran perlanggaran dari pusat kawalan trafik udara Oakland.

Pesawat Boeing 757-200 "memperlahan penurunan untuk memberi laluan kepada pesawat lain yang berada pada altitud lebih rendah," menurut kenyataan United Airlines.

Maneuver itu adalah "pertahanan terakhir terhadap perlanggaran di udara," menurut Persatuan Penerbangan Perniagaan Kebangsaan.

United Airlines memaklumkan bahawa tanda tali pinggang keselamatan telah dinyalakan, namun dua penumpang termasuk seorang yang tidak berada di tempat duduk ketika kejadian mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital.

Rakaman audio daripada LiveATC.net mendedahkan juruterbang melaporkan kecemasan perubatan kepada pengawal trafik udara di Oakland dengan menyatakan "seseorang mungkin patah buku lali dan beberapa penumpang cedera semasa kami menerima RA (Resolusi Amaran)."

Insiden itu berlaku pada ketinggian 31,000 kaki, kira-kira 70 batu utara San Francisco.

Data daripada FlightRadar24 menunjukkan pesawat Southwest Airlines berada kira-kira 3,000 kaki di bawah penerbangan United Airlines, dan pesawat SkyWest berada kira-kira 1,000 kaki lebih rendah.

FAA kini sedang menyiasat kejadian itu.

-- BERNAMA-UPI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan