SUKAN > BERITA

MULA MEMANAH SEBAGAI SENAMAN TANGAN, NURUL FARHA MENANG EMPAT EMAS

27/09/2024 12:18 AM

KUCHING, 26 Sept (Bernama) -- Nurul Farha Abdul Hamid hanya mula belajar memanah empat tahun lepas sebagai aktiviti mengisi masa lapang dan senaman untuk tangan selepas mengalami masalah kesihatan yang melumpuhkannya sehingga bergantung kepada kerusi roda.

Namun, dalam masa yang singkat, beliau mampu bangkit daripada keadaan itu untuk mencuri tumpuan pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) kali ini dengan merangkul empat pingat emas dalam acara memanah compound di Lapang Sasar Memanah Petra Jaya.

Atlet berusia 37 tahun dari Ipoh, Perak itu muncul juara acara individu wanita, berpasukan wanita bersama D. Anna Maria dan berpasukan campuran bersama K. Kumar pada hari ini, selepas meraih emas bagi pusingan kelayakan dengan 616 mata, Isnin lalu.

Berkongsi kisahnya dengan Bernama, Nurul Farha berkata beliau mengalami masalah jantung serta keradangan demyelinating polyradiculoneuropathy kronik (CIDP), iaitu penyakit saraf yang boleh membawa kepada kelumpuhan sejak 2017.

“Ketika itu, saya baru empat bulan selepas melahirkan anak. Apabila berjalan beberapa kali jatuh, barulah saya dapat tahu ada masalah kesihatan ini. Saya juga mempunyai masalah sel darah yang menyebabkan antibodi saya kosong.

“Awalnya, mental saya sedikit down. Namun, saya tidak patah semangat, cuba kekal positif, tidak putus asa dan mahu bangkit semula demi anak saya. Selepas menjalani fisioterapi, saya sudah boleh menggerakkan tangan.

“Kemudian, apabila pergi ke hospital untuk rawatan susulan, ada doktor yang mencadangkan agar saya menyertai memanah supaya tidak duduk di rumah tanpa buat apa-apa dan sebagai senaman untuk kekal menggunakan tangan, jika tidak, saya mungkin akan lumpuh semula. Sukan ini telah mengubah hidup saya,” katanya.

Kejayaan beliau membantu Perak menduduki tempat teratas bagi memanah Para SUKMA kali ini dengan empat emas, tiga perak, dan dua gangsa, diikuti Kuala Lumpur (2-1-1), Pulau Pinang (1-1-3), Pahang (1-0-1), dan Terengganu (1-0-1).

Lima lagi emas menjadi buruan dalam disiplin memanah recurve  esok.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan