SUKAN > BERITA

KHAIRUL RAZI BANGKIT LEPAS HILANG DAYA PENGLIHATAN, WAKILI JOHOR DI BUMI KENYALANG

27/09/2024 12:23 AM

KUCHING, 26 Sept (Bernama) --Selepas kehilangan penglihatan mata kiri dan hanya tinggal 60 peratus penglihatan pada mata kanan, Khairul Razi Suliman menemui sinar baharu dalam hidupnya melalui sukan renang, yang membawanya menjadi wakil Johor pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak 2024.

Khairul Razi, 26, mengakui sukar untuk menerima hakikat bahawa dirinya yang dilahirkan normal kini tidak lagi dapat melihat keindahan dunia sepenuhnya. Namun, ‘titik perubahan’ itu berlaku ketika beliau dihantar menyertai kelas anjuran Persatuan Orang Buta di Kuala Lumpur pada usia 18 tahun.

“Saya dilahirkan normal dan mula mengalami masalah penglihatan ketika Tingkatan Empat (16 tahun). Suatu hari, bangun tidur mata kiri saya tidak dapat melihat. Saya biarkan sebab ingatkan mata luka tetapi bila lama-lama tidak baik, baru saya pergi jumpa doktor. Doktor kata sudah terlambat sebab mata kiri saya tidak dapat diselamatkan.

“Masalah ini sebenarnya berpunca daripada saraf sejak kecil, cuma ia baru aktif ketika umur saya 16 tahun. Difahamkan mata kanan saya ini juga akan perlahan-lahan kehilangan penglihatan. Jadi, saya disarankan menjaga pemakanan yang sesuai,” katanya kepada Bernama di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, hari ini.

Anak bongsu daripada enam adik-beradik itu meraih pingat emas keempat menerusi acara 50 meter (m) gaya bebas lelaki S12 (kecacatan penglihatan) selepas merekodkan 29.42 saat (s), sekali gus memadam rekod kebangsaan yang dicatat Julius Jaranding dari Sarawak dengan masa 29.45s, enam tahun lalu.

Khairul Razi turut menggondol emas dalam kategori 100m gaya bebas lelaki S12, 100m gaya kuak lentang lelaki S12 dan 100m gaya kuak dada lelaki SB12.

Anak jati Batu Pahat itu berkata beliau terinspirasi untuk menceburi bidang sukan oleh jaguh para negara, Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh) dan Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru), yang membuktikan bahawa golongan Orang Kurang Upaya (OKU) juga mampu mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Saya memang suka berenang, tapi tidak terlalu mahir sehinggalah saya sertai kem bakat di Johor Bahru pada usia 18 tahun. Saya tahu sebagai OKU, tidak banyak pekerjaan yang boleh dibuat. Jadi dengan sokongan keluarga, akhirnya saya berjaya mengubah masa depan.

“Saya juga sudah kehilangan bapa semasa zaman sekolah dan ia adalah sesuatu yang saya tidak dapat lupakan. Suatu hari, saya balik sekolah dan melihat ramai orang di depan rumah. Sebaik masuk rumah, arwah ayah sudah diselimutkan,” katanya.

Beliau berkata bahawa keutamaannya kini adalah untuk membalas jasa ibunya, Halimah Ismail, 67, yang pernah bekerja sebagai tukang jahit. Baginya, "hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati."

— BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan