KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meluluskan 21 permohonan ekuiti dengan 10 daripadanya adalah tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan jumlah permodalan pasaran RM21.39 bilion.
Menerusi Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini, suruhanjaya itu menjelaskan anggaran amaun dikumpul daripada IPO itu adalah sekitar RM4.70 bilion.
“Baki permohonan yang diluluskan termasuk satu cadangan pemerolehan yang menyebabkan perubahan ketara dalam haluan perniagaan atau dasar dan 10 pemindahan penyenaraian daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama,” tambah SC.
Menurut SC pasaran ekuiti Malaysia mencatatkan aktiviti ketara pada 2024, dengan 55 IPO, tertinggi sejak 2005, menggambarkan peningkatan ketara berbanding 32 IPO pada 2023 dan 35 pada 2022.
“Antara IPO yang diluluskan, terdapat dua yang amat penting iaitu 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd dan Johor Plantations Group Bhd, menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat dalam pasaran ekuiti Malaysia dan keupayaannya untuk menarik syarikat berskala besar.
“Prestasi kukuh pada 2024 mengukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai pemain utama dalam memacu pertumbuhan ekuiti dan menarik pelaburan di rantau ini,” tambah badan kawal selia itu.
SC memaklumkan daripada 55 penyenaraian baharu pada 2024, 11 daripadanya di Pasaran Utama, 40 di Pasaran ACE dan empat lagi di Pasaran LEAP dengan permodalan pasaran berjumlah RM31.37 bilion.
“Jumlah dana yang dikumpulkan daripada penyenaraian baharu dianggarkan RM7.42 bilion,” jelasnya.
Bilangan serahan bon korporat dan sukuk pada 2024 kekal stabil, dengan 87 serahan bon korporat dan sukuk kepada SC berbanding 64 serahan pada 2023, menurut SC.
Menerusi laporan tahunan itu juga, SC menjelaskan pasaran bon korporat dan sukuk Malaysia melaporkan jumlah penerbitan sebanyak RM124.15 bilion pada 2024.
Jumlah itu mewakili peningkatan sebanyak 4.92 peratus daripada RM118.33 bilion yang diterbitkan pada 2023, tambahnya.
“Terbitan bon korporat dan sukuk denominasi ringgit masih merupakan majoriti cadangan yang diluluskan oleh/diserahkan kepada SC dengan jumlah nilai nominal sebanyak RM165.89 bilion, dengan sukuk mewakili 69.68 peratus atau RM115.59 bilion,” menurutnya.
Pada 2024, sebanyak 56 penarafan telah diberikan oleh agensi penarafan kredit kepada terbitan bon korporat dan sukuk denominasi ringgit yang diserahkan kepada SC berbanding 40 penarafan yang diberikan dalam 2023.
Menurut SC bilangan terbitan yang tidak diberi penarafan telah meningkat sebanyak 21.43 peratus berbanding pada 2023 dan terdapat satu sukuk denominasi mata wang diserahkan kepada SC pada 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial