PREMIS GISBH DI SABAH, SARAWAK TUTUP, POLIS CADANG TINDAKAN GELEDAH DAN SITA

26/09/2024 11:31 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Polis mencadangkan tindakan geledah dan sita terhadap premis berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Sabah dan Sarawak selepas mendapati premis-premis berkenaan tidak lagi beroperasi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi bantuan sepenuhnya kepada agensi-agensi berkaitan melalui  undang-undang dan peruntukan sedia ada di kedua-dua negeri itu bagi tindakan geledah berkenaan.

"PDRM telah mengadakan mesyuarat bersama agensi kerajaan yang terlibat dalam siasatan terhadap GISBH bagi meneliti situasi semasa pengoperasian premis organisasi tersebut di Sabah dan Sarawak.

"Walaupun premis-premis ini didapati tidak beroperasi, PDRM akan terus memantau bagi memastikan individu yang terlibat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat tersebut melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia, dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Menurut Razarudin, tindakan geledah dan sita di Sabah boleh dilakukan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 3/1995 dan Seksyen 16a Akta Pusat Jagaan 1993, manakala di Sarawak mengikut Seksyen 44 Ordinan Tatacara Jenayah Syariah (Sarawak) dan Seksyen 16a Akta Pusat Jagaan 1993.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata polis telah memperoleh lanjutan reman selama lima hari, bermula esok sehingga Selasa depan, terhadap tujuh suspek berkaitan GISBH yang ditahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Mengenai 10 laporan polis yang mendakwa pekerja di premis GISBH tidak dibayar gaji, beliau berkata bahawa siasatan akan dijalankan bagi meneliti pendakwaan yang boleh diambil.

"PDRM menyeru ahli atau pengikut GISBH untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan komprehensif terhadap organisasi ini," katanya.

Semalam, Bernama melaporkan polis menerima 10 laporan daripada pekerja GISBH yang mendakwa tidak dibayar gaji ketika bekerja di Miri, Sarawak; Rawang, Selangor dan Alor Setar, Kedah, membabitkan mangsa berusia 14 hingga 20 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan