WILAYAH - SABAH > BERITA

PUSAT PENAMAAN CALON PRN SABAH DITUTUP 10 PAGI

15/11/2025 10:27 AM

KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Semua 25 pusat penamaan calon (PPC) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ditutup pada 10 pagi ini, selepas dibuka selama sejam bermula 9 pagi tadi.

Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di PPC masing-masing.

Dengan berakhirnya proses penamaan calon itu, maka bermulalah kempen PRN Sabah selama 14 hari seperti ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), iaitu hingga 11.59 malam pada 28 Nov.

Tinjauan Bernama di beberapa PPC mendapati terdapat penyokong calon yang datang ke PPC dengan memakai pakaian tradisi kaum masing-masing. 

Keadaan di PPC juga aman dan terkawal dengan tiada pihak yang membuat provokasi hasil kawalan rapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Sabah pada 25 Nov dan hari pengundian pada 29 Nov.

Sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari   https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan