AM > BERITA

PRK Dun Mahkota: Kaunter Imigresen Di BSI, KSAB Beroperasi Optimum Bermula Jumaat - MB

25/09/2024 06:36 PM

JOHOR BAHRU, 25 Sept (Bernama) -- Kaunter imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) akan beroperasi pada kadar optimum bermula Jumaat, bagi memudahkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dari Singapura, pulang mengundi. 

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Imigresen dan beliau menyeru semua pengundi yang berada di negara itu, untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka Sabtu ini. 

“Banyak telah dibuat kerajaan negeri dengan dibantu kerajaan Pusat termasuk dalam memudahkan anak Johor yang bekerja di Singapura. Saya minta pulang sebentar (untuk mengundi) bagi menunjukkan solidariti kita terhadap usaha yang telah dibuat,” katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui antara cabaran pada PRK itu ialah memastikan pengundi luar pulang, mengambil kira 50 peratus daripada keseluruhan 66,318 pengundi berada di luar kawasan, termasuk di Singapura.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan seorang pemimpin pembangkang memainkan isu mewujudkan kerajaan Perpaduan di Johor semasa berkempen, Onn Hafiz berkata perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan bertujuan mahu menggugat kestabilan serta keharmonian di negeri ini. 

“Di Johor, kita bekerjasama baik dengan rakan-rakan daripada pihak pengimbang. Johor satu-satunya negeri yang ada pihak pengimbang.

“Mereka (pembangkang) ini pemimpin bermusim, yang datang untuk melaga-lagakan dan akhirmya pulang ke kawasan sendiri (selepas tamat PRK) dan yang tinggal selepas itu ialah barisan kami (kerajaan negeri), yang terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Onn Hafiz yang juga Pengarah PRK itu menyeru rakyat Johor khususnya pengundi DUN Mahkota untuk tidak termakan dengan isu dibawa pembangkang, selain beliau melihat isu nasional termasuk pergeseran dua ahli politik tidak wajar diheret ke PRK DUN Mahkota.

Isu tersebut juga telah dihentikan oleh Ahmad Zahid, selain kempen di PRK itu juga telah diingatkan untuk berlangsung mengikut ‘Cara Johor’ supaya tidak menjejaskan keharmonian masyarakat negeri ini.

“Sebagai Bangsa Johor, kita sentiasa pentingkan perpaduan. Perkara yang dibawa pemimpin peringkat nasional biarlah kekal di sana. Kita di sini mempunyai visi dan hala tuju yang jelas untuk membangunkan negeri termasuk DUN Mahkota dan daerah Kluang,” katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan