WILAYAH - UTARA > BERITA

16 TAHUN URUS 'PROJEK SAHUR WITH HOMELESS', ZETI SHUHAILA PUAS DAPAT BANTU GELANDANGAN

20/03/2025 11:30 AM

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Setiap kali tibanya bulan Ramadan, sudah pasti anak yatim, warga emas, asnaf dan fakir miskin akan dirai serta ditaja penuh meriah oleh pelbagai pihak, namun tanpa disedari nasib gelandangan di negara ini sering kali diabaikan.

Menyedari hakikat itu, Zeti Shuhaila Mustafa Kamal, 53, atau lebih mesra dengan panggilan Kak Et terpanggil untuk mengadakan ‘Projek Sahur With Homeless’ dalam usaha membantu golongan berkenaan yang sering kali dipandang serong, bahaya dan menjijikan.

Zeti Shuhaila berkata tahun ini adalah tahun ke-16 pihaknya melaksanakan program itu dengan dibantu beberapa sukarelawan yang tinggal di sekitar Perak, terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Masa mula-mula dahulu, saya bekerja di sebuah restoran di Jalan Datuk Onn Jaafar, Ipoh dan lokasi itu antara tempat gelandangan ini berkeliaran dan tidur pada waktu malam. Jadi, melihat kepada situasi itu saya berasakan golongan berkenaan perlu dibantu dan didekati.

“Kenapa saya berkata demikian adalah kerana mereka ini terdiri daripada bekas penagih dadah, orang buangan dan individu yang bebas daripada penjara. Apabila tidak ada yang dekati mereka, akan ada pengedar dadah datang, jadi saya rasa kasihan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Zeti Shuhaila berkata pada masa sama, projek sahur itu tercetus selepas beliau menerima pelbagai tempahan makanan untuk diberikan kepada anak yatim, warga emas dan rumah-rumah kebajikan, tetapi tiada makanan diberikan kepada golongan gelandangan semasa beliau bekerja di restoran berkenaan.

“Lepas itu saya pakat dengan kawan-kawan yang rapat dengan saya, kita cakap okay, kenapa tidak bagi makan dekat mereka (gelandangan). Perkara itu turut diajukan kepada ketua saya pada waktu itu kerana saya fikir tengah malam mesti mereka ini lapar dan tiada orang beri makanan.

“Sebab pada masa zaman itu, tiada orang atau masyarakat yang beri makanan kepada mereka, mungkin tidak berani untuk dekati gelandangan ini,” katanya.

Beliau berkata agihan makanan sahur pada tahun ini dilaksanakan pada hari Jumaat setiap minggu sepanjang bulan Ramadan dan mula disalurkan pada 11.45 malam di beberapa lokasi di sekitar Ipoh.

“Bagaimanapun sekiranya ada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang datang memberi makanan atau bantuan kepada gelandangan ini, pihak kami tidak akan mengadakan edaran makanan kerana kita bimbang berlaku pembaziran.

“Kalau kita lihat di Kuala Lumpur jumlah gelandangan adalah ramai, namun di Ipoh ini ada tetapi tidak ramai kerana pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memantau lokasi-lokasi ini kerana ia terletak di kawasan tumpuan orang ramai terutama apabila tiba Ramadan dan hari raya,” katanya.

Zeti Shuhaila yang juga anak jati Ipoh itu berkata sebelum ini terdapat satu bangunan yang dijadikan pusat gelandangan di sini, namun susulan tiada dana yang dapat menampung perbelanjaan di lokasi berkenaan, ia terpaksa ditutup.

Beliau berkata biasanya makanan yang diedar sekitar 80 hingga 100 bekas hasil tajaan syarikat dan orang perseorangan. 

Sementara itu, seorang pekerja eksekutif di Universiti Teknologi Petronas Yon Norasyikin Samsudin, 37, yang sememangnya meminati bidang sukarelawan itu berkata beliau menyertai ‘Projek Sahur With Homeless’ sejak menuntut di universiti lagi.

“Mula sertai pada Ramadan 2014 apabila ada kawan ternampak hantaran Kak Et dekat media sosial dan daripada situ kami cuba sertai setiap kali Ramadan sampailah tahun 2025.

“Masa dulu ramai gelandangan dalam UTC Ipoh. Jadi, tugas kami akan cari setiap pelosok bangunan untuk edar makan, namun sekarang sudah tiada dan ramai yang berada di jalanan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan